Keangkuhan Iblis
Kita semua sudah dimaklumkan apabila Iblis diperintahkan oleh Allah swt untuk bersujud bersama-sama barisan Malaikat, Iblis adalah satu-satunya makhluk Allah yang enggan, dengan alasan Iblis dicipta-Nya daripada api sementara Adam pula dari tanah.
[full-width]
Dengan angkuh, Iblis menyatakan Adam adalah seorang yang lebih hina dan belum tentu Adam akan menurut perintah Allah swt. jika dibandingkan dengan Iblis yang selama ini merupakah makhluk yang sentiasa taat pada Allah swt. sebelum Adam diciptakan.
Jawapan Allah swt. dan Sumpah Iblis
Mendengar rungutan Iblis yang tidak berpuas hati, Allah swt. membalas pertanyaan Iblis itu dengan mengatakan pada Iblis yang Adam ini akan dijadikan Khalifah di bumi dan Allah swt. tahu apa yang Iblis tidak tahu.
Walaupun sudah diperingatkan, Iblis masih enggan sujud pada Adam dan atas rasa egonya, Iblis meminta kebenaran daripada Allah swt. untuk diberikan ruang menyesatkan manusia sehinggalah tiba akhir zaman.
Permintaan Iblis itu diperkenankan, lalu Iblis dibenarkan untuk mengganggu Adam serta keturunannya dengan takdir Iblis dan pengikutnya, iaitu manusia yang lalai sudah pun diketahui akan ke neraka.
Asal-Usul Iblis
Berbeza dengan Malaikat, Iblis bukanlah diperbuat daripada cahaya kerana dia datang dari golongan Jin. Datang daripada kaum Jin membezakan Iblis daripada malaikat dalam satu segi - kemampuan memilih.
Kemampuan memilih yang diberikan pada Iblis membuatkan dia angkuh dengan perintah Allah swt. sehingga memilih untuk ingkar walaupun asalnya Iblislah makhluk yang cukup taat.
Mempunyai kemampuan memilih, Iblis memilih untuk beribadat dan akur kepada Allah swt. kerana dia tidak dipaksa untuk taat, dia tidak dipaksa untuk beriman dan dia tidak dipaksa untuk beramal sebelum kedatangan Adam. Ujian Allah swt. pada Iblis yang amalnya cukup tinggi membuatkan Iblis tergoda untuk berpaling melawan perintah Allah swt. buat pertama kalinya.
Janji Iblis pada Allah dan manusia
Selepas ingkar pada Allah swt. dan dibenarkan untuk mengganggu manusia, Iblis tidak menunggu lama untuk mengotakan janjinya dengan mengganggu Adam dan Hawa yang juga diberikan akal untuk berfikir dan memilih. Ramai melihat peristiwa ini sebagai satu kisah tentang bahaya Iblis. Memang benar itu petunjuk yang kita boleh nampak namun ada petunjuk lain yang terkandung dalam kisah ini.
Petunjuk yang lebih besar pada kita sebenarnya adalah tanggungjawab untuk memastikan sepanjang hidup, manusia hendaklah jadi lebih baik daripada Iblis.
Andai kata kita yang melanggar perintah Allah swt., itu membuktikan Iblis betul, kerana ada manusia yang sudi menjadi pengikutnya yang Allah swt sendiri katakan lebih tinggi darjatnya berbanding Iblis.
Lemahnya Iblis, Kuatnya Manusia
Walaupun Iblis itu datangnya daripada api dan diberikan ilmu yang banyak serta telah beribadah entah berapa lama, kisah Nabi Adam as. itu dengan jelas menunjukkan kebesaran Tuhan dan kenapa manusia adalah makhluk paling sempurna di sisi Allah swt.
Pasti ramai yang tidak faham maksud sebenar kisah Iblis dan Adam ini jika hanya dibaca pada dasar. Kisah Iblis dan Adam ini sebenarnya dengan jelas menunjukkan berbezanya tahap kesempurnaan di antara makhluk yang dinamakan manusia dan juga makhluk Jin serta makhluk-makhluk lain.
Iblis adalah makhluk yang lemah, apabila dia perlu memohon kebenaran Allah swt. untuk melakukan kerosakan pada iman manusia, supaya manusia melanggar perintah Allah swt. Manusia pula tidak mempunyai kekangan sedemikian.
Manusia tidak perlu pun memohon kebenaran Allah swt. untuk melakukan kerosakan di bumi kerana manusia diberikan akal untuk berfikir bagi kita memilih sendiri jalan kita. Kita bebas memilih, melakukan apa saja yang kita nak dan apa yang kita suka, dibandingkan dengan Iblis yang perlu memohon kebenaran Allah swt. untuk merosakkan anak-anak Adam as., walaupun dia juga mempunyai keupayaan memilih.
Semua peristiwa ini berlaku dengan izin Allah swt.
Pasti ramai yang mempersoalkan jika semua perkara berlaku dengan izin Allah swt., kenapa Allah swt. membenarkan keburukan berlaku? Mengapa Iblis dibenarkan memujuk Adam dan Hawa dan mengapa Iblis dibenarkan untuk menghasut anak-anak Adam?
Kita manusia ni diberikan pilihan. Jangan sesekali kata kita tak ada pilihan. Iblis tidak ada kuasa ke atas kita melainkan dengan bisikan-bisikan halus untuk menghasut.
Bila kita katakan semua perkara berlaku dengan izin Allah swt., petunjuk yang paling jelas adalah kita diberikan anugerah akal yang langsung tidak mempunyai sebarang kekangan ke atasnya, melainkan kekangan dalam bentuk firman Allah swt. serta turunnya pesuruh Allah - yang wajib dipatuhi namun bukan semua patuhi.
Apa saja yang berlaku, berlaku kerana Allah swt. mengizinkan akal kita melakukan apa saja perkara, baik atau buruk. Yang pasti, akhirat nantilah tempat kita dihisab bagaimana kita menggunakan akal kita.
Ingkarnya Iblis, Adam dan Hawa diperdaya Iblis, turunnya Adam ke bumi, wujudnya syaitan yang akan merosakkan manusia, budaya lgbt, pelakon porno, penunggang agama, scammer, MH370, kemalangan bas yang meragut 36 nyawa, letupan bom atom Hiroshima, freemason, Illuminati, kosnpirasi Dajjal - semuanya berlaku dengan izin-Nya melalui akal kita semua dan ketentuan qada' dan qadar.
Bagi mereka yang lemah serta sering tergoda dan lalai, merekalah yang membuktikan Iblis itu makhluk yang lebih baik daripada manusia dan ingkarnya itu, ada asasnya. Jadi, pilihlah jalan yang baik kerana semua yang berlaku, berlaku dengan izin Allah swt. termasuklah Iblis yang sumpahnya kini, adalah untuk menyesatkan manusia sebagai ujian pada kita semua.Api atau tanah, siapa pengikut siapa ketua? Biarlah setiap manusia yang menjawabnya.
Sumber : https://iluminasi.com